Pembuat kabinet dapur bawa pulang wang tunai RM20,000
LUMUT: Peserta Kategori Laut Dalam dari Negeri Sembilan, Sharizam Abdul Hamid, 36, dinobatkan juara pusingan kedua Karnival Memancing GP Joran 2012 di Teluk Senangin dekat sini, semalam, selepas menaikkan seekor jenahak seberat 5.96 kilogram (kg).
Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang wang tunai RM20,000 dan hadiah iringan daripada penaja.
Pembuat kabinet dapur itu berjaya mengalahkan kira-kira 400 peserta dalam kategori sama yang memancing kira-kira 12 jam sekitar Pulau Sembilan.
Naib johan dan tempat ketiga dimenangi peserta dari Perak, Nazrul Hisyam Hassan, 29, dan Shaharudin Othman, 45, masing-masing menaikkan jenahak seberat 5.28kg dan 4.88kg.
Nazrul dan Shaharudin, masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM4,000.
Bagi Kategori Pantai, pari seberat 4.28kg yang dipancing kira-kira jam 10.35 pagi membantu Mohd Nasri Abdullah, 33, dari Batu Burok, Terengganu membawa pulang wang tunai RM20,000.
Naib johan dimenangi Mohd Yusri Mohamed Yunus, 34, dari Perak dan tempat ketiga dimenangi Ibrahim Che Ros (Pulau Pinang).
Mereka berjaya menaikkan ikan bawal pinang seberat 1.32kg dan 0.91kg yang turut membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM4,000.
Hadiah kepada semua pemenang utama kedua-dua kategori disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri, Datuk Hamidah Osman; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Datuk Zamri Man.
Sementara itu, Sharizam tidak menyangka umpan sotong menggabang berjaya memikat jenahak kira-kira jam 8 pagi semalam.
“Cadangan tekong supaya saya menggunakan umpan sotong menggabang ternyata berkesan apabila umpan yang dilabuhkan tidak sampai 15 minit terus disentap.
“Berdebar-debar saya ketika menaikkan ikan berkenaan dan lebih kurang 10 minit akhirnya ikan paling berharga dari spesies jenahak berjaya dinaikkan di atas bot,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry dalam sidang medianya berkata, GP Joran bakal dijadikan acara tahunan negeri ini pada masa akan datang.
“Selepas sembilan tahun GP Joran tidak diadakan di daerah Manjung, kali ini acara itu dianjurkan Berita Harian dan akan berlangsung setiap tahun dan bakal dijadikan acara tahunan negeri ini,” katanya.
GP Joran 2012 pusingan kedua yang berlangsung di Teluk Senangin, semalam, melabuhkan tirai dengan jayanya apabila 1,100 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian.
Pusingan seterusnya akan menemui peserta di Kuala Pahang, Pekan Pahang, September depan.
Antara penaja pertandingan pembuka tirai ini ialah TCE Tackles Sdn Bhd, Universal Fitness & Leisure (UFL-Coleman), Nestle Product Sdn Bhd (Nestle/Maggi), Syarikat Zulkifli Bhamadhaj (Petani), Ions Adventure, Adabi Consumer Sdn Bhd, Gardenia (KL) Bakeries Sdn Bhd, Perfect Food Sdn Bhd (Julie’s).
No comments:
Post a Comment